Skip Ribbon Commands
Skip to main content

MSD News and Current Issues

Manage PermissionsManage Permissions
BENGKEL PENILAIAN SENDIRI PROGRAM PENGGREDAN PRESTASI SEKTOR AWAM [3PSA] MELALUI PENARAFAN BINTANG 2021

Bengkel Penilaian Sendiri (Self-Assessment) 3PSA 2021 – Jabatan Perkhidmatan Pengurusan [MSD], Jabatan Perdana Menteri telah menganjurkan Bengkel Penilaian Sendiri [Self-Assessment Workshop] bagi Program Penggredan Prestasi Sektor Awam [3PSA] Melalui Penarafan Bintang.  Bengkel selama lima [5] hari ini telah bermula pada hari Khamis, 04 Februari 2021 hingga Rabu, 10 Februari 2021 dan diadakan di Institut Perkhidmatan Awam [IPA] melibatkan enam [6] jabatan yang banyak berurusan dengan orang ramai. 

 

Antara tujuan bengkel adalah untuk memberi kefahaman kepada peserta mengenai konsep dan kaedah pelaksanaan 3PSA dan seterusnya membolehkan mereka melaksanakan Self-Assessment 3PSA di jabatan masing-masing sejurus selepas berakhirnya bengkel dengan menggunakan borang-borang penilaian 3PSA.  Melalui penemuan self-assessment ini nanti, jabatan-jabatan terlibat dapat melaksanakan penambahbaikan dan mempersiapkan jabatan masing-masing untuk penilaian formal oleh MSD.

 

Bengkel ini melibatkan beberapa aktiviti seperti penerangan / taklimat mengenai konsep 3PSA dan empat [4] skop penilaiannya/ pengurusan teras / utama, iaitu strategi dan pelaksanaan; dasar dan pelaksanaan; sumber manusia; dan pemedulian pelanggan. Bengkel ini juga diselitkan beberapa aktiviti berkumpulan mengandungi tatacara menggunakan Senarai Semak 3PSA, penyediaan laporan dan borang-borang 3PSA yang lain.

 

3PSA merupakan salah satu sistem penilaian yang dihasratkan akan dapat memberikan pengiktirafan / penghargaan kepada kementerian dan jabatan kerajaan yang telah berusaha ke arah peningkatan kecekapan, keberkesanan, prestasi, produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan.  Selain itu, 3PSA juga akan menilai dan mengukur prestasi jabatan kerajaan ke arah memastikan penyampaian perkhidmatan berada di tahap yang cemerlang.  Ianya juga dapat menggalakkan persaingan yang sihat di kalangan jabatan kerajaan dalam amalan pengurusan organisasi dan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan. 

 

Dengan adanya 3PSA akan dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan untuk meningkatkan prestasi, kualiti dan produktiviti kerja di kalangan warga Perkhidmatan Awam dan membantu dalam  memberkesankan lagi usaha penambahbaikan dan pembaharuan yang telah / sedang / akan dilaksanakan dalam Perkhidmatan Awam.  Melalui 3PSA juga akan dapat memberi promosi meluas mengenai dasar, strategi, mekanisme dan amalan terbaik yang dapat dijadikan sebagai tanda aras [benchmark] dalam Perkhidmatan Awam serta pengurusan prestasi dan kualiti yang telah membawa kejayaan kepada organisasi. Seperti yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-25 pada 31 Oktober 2018, antara lain Baginda bertitah;

 

"…Dengan adanya penarafan ini (Program Penggredan Prestasi Sektor Awam [3PSA] Melalui Penarafan Bintang), Beta berharap agensi-agensi kerajaan akan terus mempertingkatkan lagi urus tadbir agensi masing-masing demi kecemerlangan Perkhidmatan Awam…"

 

Program 3PSA merupakan antara aktiviti bagi mendokong pelaksanaan Rangka Kerja Perkhidmatan Awam (CSF) yang menyumbang kepada pencapaian Prestasi Kebangsaan; Indeks Keberkesanan Kerajaan (Government Effectiveness Index).  Pencapaian Prestasi Kebangsaan ini membantu ke arah pemberian perkhidmatan yang cemerlang untuk mencapai matlamat kedua Wawasan Brunei 2035.  3PSA juga turut mendokong Wawasan Perkhidmatan Awam Abad Ke-21.


Peserta Bengkel Penilaian Sendiri 3PSA 2021 bersama Pemangku Pengarah Perkhidmatan Pengurusan


Attachments