Skip Ribbon Commands
Skip to main content

MSD News and Current Issues

Manage PermissionsManage Permissions
31 OKTOBER 2018 - PENGURNIAAN SIJIL PENGIKTIRAFAN PROGRAM PENGGREDAN PRESTASI SEKTOR AWAM [3PSA] MELALUI PENARAFAN BINTANG SEMPENA HARI PERKHIDMATAN AWAM KE-25 TAHUN 2018

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKTOBER 2018 – Majlis Acara Kemuncak Hari Perkhidmatan Awam [HPA] ke-25 telah diadakan di Dewan Plenary, Pusat Persidangaan Antarabangsa, Berakas dan tema sambutan HPA pada tahun ini adalah 'Transformasi Ke Arah Perkhidmatan Awam Yang Progresif'.  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Antara atur cara di majlis tersebut adalah pengurniaan Sijil Pengiktirafan kepada enam [6] jabatan yang telah melalui Penilaian Penggredan Prestasi Sektor Awam [3PSA] Melalui Penarafan Bintang dan diiktiraf mendapat tiga [3] bintang [Baik] yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. 

Pemakluman jabatan-jabatan yang memperolehi tiga [3] bintang [Baik] dibuat melalui tayangan video klip 3PSA sebelum pengurniaan sijil pengiktirafan.  Jabatan-jabatan tersebut adalah :

  • Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan;
  • Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri;
  • Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan;
  • Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama;
  • Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan; dan
  • Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

3PSA merupakan inisiatif berterusan Jabatan Perdana Menteri khususnya Jabatan Perkhidmatan Pengurusan [MSD] bagi menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Perkhidmatan Awam ke-21 pada tahun 2014. Program ini telah dilancarkan pada tahun 2015.  Di peringkat awal, MSD mensasarkan kepada jabatan-jabatan yang banyak berurusan dengan orang ramai.  Sebanyak 19 jabatan telah dinilai bagi tahun kewangan 2016/2017 dan 2017/2018.

Penilaian dibahagikan kepada empat [4] skop, iaitu Strategi dan Pelaksanaan, Dasar dan Pelaksanaan, Sumber Manusia, dan Pemedulian Pelanggan. Setiap skop juga akan melihat kepada dua [2] dimensi, iaitu pembolehdaya [enablers]: dilihat dari aspek persediaan agensi kerajaan dalam mencapai matlamat penubuhan agensi berkenaan dan pencapaian [results] : melihat sejauhmana pencapaian jabatan telah dilaksanakan.  Bagi tujuan pemarkahan, wajaran telah ditetapkan bagi setiap skop dan dimensi yang membawa jumlah kesemuanya 100%.

Melalui 3PSA, prestasi jabatan-jabatan kerajaan khususnya dan Perkhidmatan Awam amnya dapat dinilai dan diukur yang setentunya akan menyumbang kepada pencapaian Prestasi Kebangsaan, iaitu Indeks Keberkesanan Kerajaan [Government Effectiveness Index].

Dengan adanya pengiktirafan dan penghargaan ini juga diharapkan akan dapat memberikan dorongan dan motivasi di kalangan agensi kerajaan dan warga Perkhidmanatan Awam ke arah pemberian perkhidmatan yang cemerlang untuk mencapai matlamat Wawasan Perkhidmatan Awam Abad Ke-21 dan Wawasan Brunei 2035.



Yang Mulia Awang Shahrom Bin Haji Awang Suhaimi

Pesuruhjaya  Perancang Bandar dan Desa

Kementerian Pembangunan



Yang Mulia Dayang Hajah Rosni Binti Haji Jair

Pengarah Perkhidmatan Farmasi

Kementerian Kesihatan



Yang Mulia Muhammad Saufi Bin Awang Haji Ibrahim

Pemangku Pesuruhjaya Buruh

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri



Gambar ramai penerima Sijil Pengiktirafan 3PSA, Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam [APCPA] dan Anugerah Penghargaan Khas Kakitangan Perkhidmatan Awam [Anugerah PKKPA]  bersama KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam



Gambar Penerima Sijil Pengiktirafan 3PSA bersama Yang Mulia Awang Aminuddin Bin Haji Buntar, Pengarah Perkhidmatan Pengurusan dan Yang Mulia Dayang Hajah Masbi Binti Haji Morni, Pemangku Timbalan Perkhidmatan Pengurusan, Jabatan Perkhidmatan Pengurusan

 

 

Gambar: ihsan dari Jabatan Penerangan*


Attachments